Tuesday, 29 October 2013

KKT 2 - Sukan (Teks Teknikal)

Pembentangan KKT 2 - Terjemahan pandang dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris

Bola Sepak

Teks sumber

Tiada siapa menaruh harapan tinggi kepada Sarawak untuk melangkah jauh pada saingan Piala Malaysia meskipun tampil dengan reputasi selaku juara Liga Premier musim ini.

Tidak cukup dengan itu, pasukan yang pernah dilabel sebagai 'cap ayam' ini bukanlah calon utama mara ke separuh akhir, namun dengan status tersebut membuatkan Bujang Senang bingkas bangkit mengejutkan juara Liga Super, Lions X11, Perak, Kedah dan Sime Darby.

Bagi legenda Ngap Sayot, Awang Mahyan Awang Mohamad, 62, skuad Bujang Senang bimbingan Robert Alberts kali ini merupakan sandaran terbaik untuk Sarawak memburu kejuaraan berganda musim ini.

"Sarawak sudah lama tidak beraksi di pentas final, malah kita tidak pernah jadi juara Piala Malaysia.

"Kali terakhir Sarawak mara ke pentas final Piala Malaysia ialah pada edisi 1999 tetapi tewas kepada Brunei.

"Bagaimanapun, saya optimis berdasarkan prestasi semasa, Sarawak mampu beraksi di medan final.

"Dengan sokongan padu penyokong sendiri, saya yakin pemain akan berjuang habis-habisan untuk menewaskan Pahang di Stadium Negeri esok (malam ini)," katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuching semalam.

Awang Mayhan yang turut digelar 'bapa revolusi bola sepak Sarawak' selepas membawa Ngap Sayot melalui zaman kegemilangan sekitar tahun 1989 menambah, anak-anak buah Alberts masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke final.

Katanya, para pemain Sarawak tidak harus mengambil mudah saingan skuad kendalian Dollah Salleh itu jika ingin merealisasikan impian mara ke pentas final.

"Pemain tidak boleh dibuai dengan kelebihan satu gol di tempat lawan, sebaliknya apa yang penting sekarang ialah memberi fokus sepenuhnya untuk mencari defisit dua gol pada perlawanan nanti.

"Saya sendiri cukup teruja dan amat berbangga dengan pasukan Sarawak. Jadi, inilah detik paling penting  dalam karier setiap pemain untuk menyala impian mara ke final seterusnya menjulang trofi Piala Malaysia,"    katanya.

Pencipta slogan Ngap Sayot itu turut mengakui, Muamer Salibasic merupakan aset bernilai untuk Sarawak menggerakkan serangat bagi merobek gawang Tok Gajah.

"Selain itu, corak permainan Sarawak pada aksi kedua malam ini dijangka berubah wajah dengan kehadiran  semula 'ayam tambatan', Joseph Kalang Tie selaku perancang utama.

"Kehadiran Ronny Harun turut menjadi kunci kekebalan pertahanan Sarawak bagi memperkukuhkan      benteng daripada dirobek pemain Pahang," katanya.





ANALISIS MASALAH DAN PENYELESAIAN

Terdapat beberapa masalah semasa penterjemah membuat terjemahan pandang bagi artikel ini. Seperti yang telah dinyatakan di dalam pembentangan powerpoint di atas, di sini akan dibincangkan serba sedikit tentang masalah yang dilakukan ketika menterjemah pandang.

Masalah 1

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Ngap Sayot
Ngap Sayot
Ngap Sayot

Perbincangan
Semasa melakukan terjemahan pandangan, penterjemah mengekalkan perkataan 'Ngap Sayot' kerana penterjemah tidak tahu maksud sebenar Ngap Sayot. Tambahan pula, perkataan 'Ngap Sayot' merupakan satu legenda, jadi ia tergolong dalam golongan kata nama khas dan seharusnya dikekalkan. Setelah kajian dillakukan, 'Ngap Sayot' sebenarnya merupakan slogan yang digunakan untuk pemain bola Sarawak.

Sejarah 'Ngap Sayot' bermula apabila Awang Mahyan Awang Mohamad bermain snuker bersama empat rakan sepasukannya iaitu Affendi, Ali, Khairul dan Roslan. Beliau tidak mahir bermain snuker, dan disebabkan itu mereka menjadikan dirinya sebagai 'Ngap Sayot' yang bermaksud 'senang dimakan' atau 'mudah untuk dikalahkan'. Maka, apabila Awang melatih para pemainnya di stadium, beliau terfikir untuk menjadikan 'Ngap Sayot' sebagai slogan pasukan Sarawak yang bermaksud pasukan lain senang dimakan. Dalam konteks pasukan Sarawak, slogan tersebut membawa maksud pasukan Sarawak tidak gentar dengan mana-mana pasukan sekalipun berdepan dengan pasukan Brazil.

Oleh hal yang demikian, perkataan 'Ngap Sayot' dikekalkan sebagaimana yang tertulis di dalam teks sumber supaya maknanya tidak hilang di samping mengekalkan budaya pasukan Sarawak.

Rujukan : 'Ngap Sayot' kian dilupa

Masalah 2

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Skuad Bujang Senang
The Sarawak team
The Sarawak team
Perbincangan
Semasa melakukan terjemahan pandang, penterjemah faham akan makna skuad Bujang Senang iaitu merujuk kepada pasukan Sarawak. Namun terdapat juga maksud lain bagi perkataan 'Bujang Senang' iaitu merujuk kepada seekor buaya yang pernah mengorbankan beberapa nyawa di Sarawak suatu ketika dahulu. Oleh hal yang demikian, bagi mengelakkan kekeliruan, penterjemah menterjemahkan 'Skuad Bujang Senang' kepada 'the Sarawak team' supaya pembaca sasaran lebih mudah faham makna yang cuba disampaikan.

Masalah 3

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Cap ayam
Cheap
The loser
Perbincangan
Cap ayam merupakan perkataan yang digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang tiada standard atau nilainya sangat kurang. Semasa menterjemah pandang, penterjemah tidak dapat memikirkan perkataan yang sesuai untuk menterjemahkan perkataan tersebut. Oleh itu, penterjemah menterjemahkan 'cap ayam' sebagai 'cheap'. Tetapi setelah diteliti semula, jika digunakan dalam teks sasaran, terjemahan 'cheap' menampakkan seolah-olah pasukan Sarawak itu murah dan tidak mempunyai nilai sedangkan apa yang dimaksudkan dalam artikel tersebut adalah pasukan ini pernah dilabel sebagai 'cap ayam' dan bukan calon utama untuk ke peringkat akhir. Justeru, penterjemah mencadangkan perkataan 'cap ayam' diterjemahkan menjadi 'the loser' yang dirasakan lebih sesuai untuk perbandingan antara pasukan Sarawak dan pasukan-pasukan lain.

Masalah 4

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Ayam tambatan
Important player
Key player

Perbincangan
Simpulan bahasa 'ayam tambatan' bermaksud pemain yang menjadi harapan dalam sesuatu pertandingan. Penterjemah tidak dapat memikirkan perkataan yang sesuai untuk dipadankan dengan simpulan bahasa tersebut. Disebabkan itu, penterjemah menterjemahkan 'ayam tambatan' kepada 'important player' berbanding 'hopeful player' kerana 'important player' bermaksud pemain tersebut adalah sangat penting dan dirasakan sesuai dengan maksud yang cuba disampaikan dalam teks sumber iaitu pemain harapan yang penting untuk pasukan Sarawak dalam pertandingan tersebut. Manakala terjemahan 'hopeful player'  pula mempunyai bunyi yang agak janggal. 

Namun demikian, setelah melakukan kajian, penterjemah mendapati terdapat padanan yang lebih sesuai untuk simpulan bahasa 'ayam tambatan' iaitu 'key player'. Justeru, penterjemah mencadangkan 'ayam tambatan' diterjemahkan menjadi 'key player' yang dirasakan lebih sepadan dengan maksud teks sumber.


Masalah 5

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Dibuai
Excited
Engrossed

Perbincangan
Semasa melakukan terjemahan pandang, penterjemah menterjemahkan perkataan 'dibuai' kepada 'excited' kerana berpendapat bahawa maksud yang cuba disampaikan dalam teks sumber adalah pemain pasukan Sarawak tidak boleh berasa terlalu senang teruja dengan kelebihan satu gol yang mereka peroleh dalam permainan itu, justeru penterjemah menterjemahkannya kepada 'excited'. Namun selepas melakukan kajian yang lebih mendalam, perkataan 'dibuai' itu lebih sinonim dengan perkataan 'leka'. Oleh hal yang demikian, penterjemah mencadangkan perkataan 'dibuai' diterjemahkan menjadi 'engrossed' yang bermakna 'asyik, leka'. 

Masalah 6

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Kunci kekebalan pertahanan
Key defence
Key defence
Perbincangan
Penterjemah menemui kesukaran sewaktu melakukan terjemahan pandang untuk menterjemah perkataan kunci kekebalan pertahanan ini. Hal ini kerana penterjemah tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan kunci kekebalan pertahanan ini. Setelah diteliti semula, penterjemah mendapati bahawa kunci kekebalan pertahanan ini adalah merujuk kepada Ronny Harun yang merupakan penyerang bagi pasukan Sarawak. Jadi, penterjemah telah menterjemah perkataan ini kepada key defence yang dirasakan lebih sesuai untuk merujuk peranan Ronny Harun dalam memastikan bahawa pemain Pahang tidak akan boleh merobek benteng pemain Sarawak.

Masalah 7

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Benteng
Defence
Defence
Perbincangan
Semasa melakukan terjemahan pandang, penterjemah menterjemahkan perkataan benteng kepada defence. Perkataan benteng di sini bukanlah merujuk kepada apa-apa objek seperti tembok yang berbentuk fizikal. Sebaliknya, perkataan benteng ini merujuk kepada benteng pertahanan pihak Sarawak yang harus dijaga agar pemain Pahang tidak dapat merobek benteng itu sehingga boleh memberikan kemenangan kepada pemain Pahang. Dalam hal ini, penterjemah bercadang untuk menterjemah perkataan benteng kepada defence kerana defence juga dapat memberikan maksud pertahanan. Jadi, perkataan defence juga dilihat banyak digunakan dalam konteks teks sukan lebih-lebih lagi dalam sukan bola sepak. Inilah sebabnya mengapa perkataan benteng lebih sesuai untuk diterjemah pandang menjadi defence dalam konteks teks ini.

Masalah 8

Teks sumber
Terjemahan pandang
Cadangan
Dirobek
Torn
Attacked

Perbincangan
Perkataan robek dapat membawa maksud koyak. Jadi, penterjemah telah melakukan terjemahan pandang dengan menterjemahkan perkataan dirobek ini kepada perkataan torn. Namun begitu, perkataan torn ini dirasakan tidak sesuai digunakan dalam artikel ini kerana artikel ini merupakan artikel sukan bola sepak. Setelah melakukan sedikit analisis, penterjemah telah bercadang untuk menterjemahkan perkataan dirobek ini kepada attacked. Dalam artikel ini, penulis artikel mahu menyatakan bahawa pemain Sarawak tidak mahu pemain Pahang untuk menjaringkan gol yang seterusnya akan memberikan kemenangan kepada pemain Pahang dalam perlawanan bola sepak itu. Jadi, dirobek ini bukanlah bersifat fizikal dalam konteks teks ini. Maka, penterjemah merasakan perkataan attacked lebih sesuai digunakan untuk menterjemah perkataan dirobek ini bagi menunjukkan betapa pemain Sarawak harus memperkukuhkan benteng pertahanan mereka untuk mengelakkan pemain Pahang memenangi perlawanan ini.


KESIMPULAN

  • Penterjemah perlu sentiasa bersedia sebelum melakukan terjemahan pandang.
  • Penterjemah perlu mempunyai pengetahuan umum mengenai pelbagai bidang dan perbanyakkan membaca supaya sentiasa mengikuti perkembangan isu semasa.
  • Penterjemah tidak boleh segan dan perlu sentiasa rajin merujuk pada pakar dalam sesuatu bidang supaya terjemahan menjadi lebih bermakna dan sempurna.

0 comments:

 

Template by Suck My Lolly - Background Image by TotallySevere.com